President Warriors Sah Juara Kumpulan.
![]() |
| Aris Zaidi menjaringkan dua gol ketika membantu Kelantan menewaskan T-Team 5-0, petang tadi. |
RedsFC
RedsFCNews@gmail.com
President Warriors mengesahkan tempat mereka selaku juara Kumpulan A Liga Piala Presiden selepas membelasah T-Team FC 5-0 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Kelantan hanya memerlukan satu mata untuk muncul juara memulakan serangan seawal minit pertama melalui percubaan lemah Shahiran Mohd Zain kepada penjaga gol T-Team.
Hasil satu gerakan bersama Shahiran, penyerang berbisa, Aris Zaidi dijatuhkan didalam kotak penalti pada minit ke-5. Sepakan penalti yang diambil sendiri Aris Zaidi terus menerjah jaring menewaskan Mohamad Syafiq Ramli buat kali pertama seterusnya menceriakan hampir 400 penyokong setia tuan rumah.
Tidak berputus asa, T-Team melakukan percubaan pertama kearah pintu gol Kelantan melalui sepakan kencang Wan Mohd Syakir pada minit ke-12 namun penjaga gol, Mohamad Fakhrul Ikram pantas menepis keluar.
Tiga minit kemudian, Shahiran Mohd Zain mendapat satu peluang terbuka dihadapan pintu gol T-Team selepas hantaran silang Aris Zaidi gagal ditangkap kemas Syafiq Ramli tetapi sepakan pemain ini meliar keluar walaupun pintu gol sudah ternganga luas.
Wan Mohd Syakir menyaksikan sepakan kencang dari luar kotak tersasar pada minit ke-20 manakala cubaan Mohd Noor Fadzlan turut keluar minit ke-28.
Pada minit ke-32, pemain sayap, Mohd Azmi Hamzah berjaya melakukan gelecekan menarik namun sepakan deras diselamatkan pertahanan T-Team atas garisan gol.
T-Team turut tidak ketinggalan selepas dikurniakan satu sepakan percuma dari jarak 35 meter namun sepakan Humaidi Adzmi terus kepada Fakhrul Ikram pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, Kelantan mengukuhkan kedudukan pada minit ke-48 selepas Humaidi Adzmi tertampan masuk kedalam gawang selepas cuba mengeluarkan hantaran satu dua Aris Zaidi dan Shahiran Mohd Zain.
Bagi menambah sengat, Norsyahrul Hawari dimasukkan dan ternyata dia merubah corak serangan Kelantan dengan beberapa gerakan menarik. Hasilnya, Norsyahrul Hawari berjaya membolosi gawang T-Team buat kali ketiga dengan satu sepakan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti pada minit ke-58.
T-Team hampir merapatkan jurang jaringan pada minit ke-61 selepas dianugerahkan satu sepakan penalti setelah penjaga garisan mendakwa bola sepakan sudut terkena tangan Zamri Ramli namun Mat Hafiz Ariffin mengsia-sia peluang terhidang dengan sepakan tinggi melewati palang.
Kegagalan T-Team merapatkan jurang digunakan sepenuh pemain Kelantan untuk melakukan jaringan keempat pada minit ke-80 selepas Mohd Izuan Salahudin yang dimasukkan lima minit sebelum itu bijak merembat ke sebelah kiri pintu gol T-Team menewaskan sekali lagi penjaga gol pelawat, Syafiq Ramli.
Keghairahan Izuan Rosli untuk mencari gol peribadi kedua hampir berhasil namun Syafiq Ramli tangkas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-86 selain cubaan dari jarak 30 meter pada minit ke-88 sekali lagi diselamatkan penjaga gol T-Team.
Seminit kemudian, T-Team mendapat ruang cukup luas untuk menembusi gawang Sang Kijang tetapi kuisan Mohd Khairul Nizam hasil kesilapan awal Zabeel Mat Nor sedikit keluar walaupun Fakhrul Ikram sudah mati langkah.
Pada minit ke-90, Aris Zaidi melepaskan rembatan kencang diselamatkan Syafiq Ramli namun pemain ini pantas menebus kembali kehampaan dengan rembatan Half Volley dua minit selepas itu hasil lintangan menarik Azmi Hamzah menembusi gawang T-Team buat kali kelima tanpa mampu diselamatkan Syafiq.
Tiga kad kuning dilayangkan pengadil, Mohd Noor Abdul Rahman kepada pemain Kelantan dan T-Team.
Kesebelasan Utama:
Kelantan: Zahasmi Ismail.
Fakhrul Ikram (Pg), Shafiq Haikal (Nick Chan), Zabeel Mat Nor, Bahaman Ghani (Zamri Ramli), Faizol Nazlin Sayuti, Shahiran Zain (Izuan Rosli), Aris Zaidi, Nik Shahrul Azim (Kp), Akid Ramli (Azyu Ikmal), Manaf Mansor (Norsyahrul Hawari) dan Azmi Hamzah.
T-Team FC: Yusof Ali.
Syafiq Ramli (Pg), Humaidi Adzmi (Ahmad Akhrudin), Al Amin Abdullah, Zuhairie Tarmizi, Hazrul Nizam (Hariz Azri), Kamal Baharin (Kp), Shafeerul Asli, Mat Hafiz Ariffin, Faiz Rohulmin (Khairul Nizam), Noor Fadzlan, dan Wan Mohd Syakir.
Pemain Terbaik Pilihan RedsFC-News : Aris Zaidi
Statistik Perlawanan
Gol
Kelantan 5-0 T-Team
Percubaan
Kelantan 12-7 T-Team
Sepakan Percuma
Kelantan 20-16 T-Team
Offside
Kelantan 6-2 T-Team
Sepakan Sudut
Kelantan 7-5 T-Team
Kad Kuning
Kelantan 2-1 T-Team
Posisi Bola (%)
Kelantan 55-45 T-Team


2 Post Saim-Saim:
terbaik President Warriors. Terbaik buat Reds News kerana memberi liputan terbaik kepada pasukan muda klate. gomore sek kito gomore.
kemah terrr.. i like terr..
kawe sokong muhaimin, reds meme kemah.update semo pasal trw.tahniah kepado reds dan krew2..
Catat Ulasan