Kritik Untuk Perubahan Bukan Kritik Untuk Memusnahkan.
Cari Blog Ini
Memuatkan ...
-Diary RedsFC- November-
Assalamualaikum.... Salam buat semua pengunjung..
Kawe mengalu-alukan rakan-rakan pengunjung menyumbangkan berita pasukan Kelantan untuk dimuatkan kedalam Blog RedsFC-News. Anda boleh mengemailkan kepada saya di Redskelate@yahoo.com.my dan InsyaAllah nama anda akan saya letakkan pada byline berita/artikel tersebut
Kawe mengharapkan jasa baik dari rakan2 yang melawat blog kawe untuk memberikan komen pada setiap artikel yang kawe tulis
Ambik Perhatian:
Segala Artikel yang terdapat dalam Blogs ini adalah dari RedsFC dan tidak berkaitan dengan mana-mana pihak tidak kiralah sesiapa dan RedsFC bertanggungjawab penuh terhadap pengeluaran setiap artikel ini.
Dilarang sama sekali mengambil, mencetak, menulis atau apa-apa sahaja isi kandungan yang terdapat didalam http://redsfc-news.blogspot.com/ tanpa mendapatkan kebenaran dari RedsFC.
Terima Kasih kepada Semua Yang mengunjungi.. Ado Cadangan sila Komen pada Ruang yang disediakan.. Kawe mengalu alukan sebarang cadangan daripada anda semua. -HakCipta Terpelihara- RedsFC
Perlawanan persahabatan menentang Felda malam ini menjadi titik tolak kepada persiapan terakhir Sang Kijang untuk menghadapi Liga Super yang akan bermula seminggu sahaja lagi.
Kelantan yang menurunkan barisan sama seperti perlawanan lepas akan melakukan taktik menyerang seperti yang dikatakan oleh jurulatih kepada wakil Reds-News, kelmarin.
Dalam pertemuan itu, jurulatih tersebut mengatakan persiapan pasukan sudah di peringkat akhir dan dia akan menerapkan formasi yang mampu menghasilkan sesuatu dalam sesebuah perlawanan.
Sebelum ini, Kelantan hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan dalam perlawanan persahabatan di Thailand dan Kota Bharu.
Buat masa ini, Kelantan mempunyai skuad lengkap dan terkuat dimana para pemain bebas dari sebarang kecederaan kecuali Norsharul Idlan Talaha yang dipanggil pasukan Kebangsaan untuk menyertai perlawanan antarabangsa.
Akmal Rizal dan Subramaniam sudah pulih dari kecederaan yang dialami di Thailand manakala Che Hishamudin juga sudah kembali cergas memungkinkannya diturunkan dalam skuad utama malam nanti.
Oleh itu, dalam perlawanan ini Kelantan akan menampilkan aksi terbaik mereka seterusnya memuaskan hati peminat Kelantan yang hadir ke stadium.
Peminat juga diminta hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain malam nanti
Perlawanan menentang Felda akan menemukan kembali Red Warriors dengan pertahanan kental yang membantu skuad Cik Siti Wan Kembang ke perlawanan akhir Piala Malaysia bulan lalu, Nazrol Erwan Makmor.
Chanturu, penyerang muda yang mula memikat hati peminat Kelantan
Kijang Perlu Lebih Menyerang.
RedsFC Redskelate@yahoo.com.my
Barisan serangan Kelantan walaupun dipenuhi dengan pemain berpengalaman dan pernah menyarung jersi Kebangsaan dilihat tumpul apabila hanya menjaringkan dua gol dari lima perlawanan persahabatan yang diatur sempena latihan pra musim untuk persiapan pasukan.
Situasi yang amat membimbangkan peminat dan penyokong setia Kelantan kerana perlawanan pertama liga super 2010 menentang Terengganu semakin hampir.
Ketika perlawanan latihan menentang tiga kelab di Thailand, Sisaket Fc, Chonburi Fc dan Muangthon Fc, Kelantan gagal menjaringkan sebarang gol malah tewas dua perlawanan selain seri tanpa jaringan pada perlawanan terakhir.
Pulang ke Kota Bharu, KAFA mengatur empat perlawanan persahabatan dan dalam dua perlawanan yang telah pun berlangsung Kelantan berjaya menewaskan T-Team dengan 2-0 sebelum sekali lagi diikat kelab Selatan Thai, Narathiwat Fc 0-0 malam kelmarin.
Walaupun menurunkan kesemua pemain serangan, mereka dilihat kebuntuan jaringan dan dengan hidangan deretan peluang keemasan untuk membolosi gawang pasukan lawan, kesemuanya gagal disudahkan kedalam jaring.
Satu pencapaian yang mengecewakan bagi pasukan yang melakukan latihan pra musim kerana lima perlawanan yang dihadapi setidak-tidaknya empat atau lima gol harus dijaringkan para pemain.
Adakah pemain Kelantan keletihan kerana menghadapi jadual padat atau pemain masih belum mahu menunjukkan kemampuan sebenar ataupun pemain masih malu-malu kerana baru kali pertama digandingkan.
Jika dilihat pada nama-nama di barisan serangan seperti Hairudin Omar, Akmal Rizal, Che Hishamudin, Nidzad Ayub, Ailim Fahmi dan S. Chanturu, kebanyakan pasukan yang akan bertemu Kijang pasti akan lebih berhati-hati tetapi jika berterusan seperti ini, apa yang perlu dibimbangkan pasukan lawan. Mungkinkah Kelantan belum menemui pemain serangan terbaik ekoran ketiadaan Sharul Idlan Talaha yang sedang berlatih bersama skuad Malaysia.
Adakah pemain tengah tidak melakukan tugas mereka dengan berkesan untuk membantu penyerang. Diperhatikan, pemain serangan dilihat lebih mencari bola bukan menunggu bola dihantar kepada mereka. Adakah ini menjadi penyebab kepada kebuntuan jaringan.
Sampai bila masalah ini akan menghantui pemain walhal kita dimomokkan dengan pengumuman pada awal bulan lalu yang skuad Kelantan ketika ini dibarisi pemain yang berdaya saing mampu mempamerkan permainan laju selaras dengan bola sepak moden.
Siapa yang harus dipersalahkan, pemain atau pengurusan?
Memang perlawanan latihan tidak melambangkan kekuatan sebenar kerana saingan Liga Super medan penentuan bagi sesebuah pasukan. Tetapi yakinkah para peminat dengan kemampuan Kelantan dalam saingan sebenar jika situasi ketumpulan jentera serangan ini terus menghantui.
KAFA selaku badan induk sebenarnya berperanan penting dengan melakukan siasatan segera mengapa para pemain kekeringan idea untuk melaksanakan tugasan menjaringkan gol kerana pada peringkat ini merupakan peringkat akhir bagi sesebuah pasukan untuk menyediakan skuad mantap untuk saingan liga.
Waktu ini bukan lagi perlawanan latihan untuk mencari keserasian tetapi memperkukuhkan skuad dan mencari kesebelasan utama.
Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan juga perlu lebih menumpukan kepada barisan serangan bukan hanya melatih posisi-posisi tertentu. Sathia juga perlu melakukan kerjasama lebih erat dengan beberapa pembantunya dengan membahagikan tugas untuk melatih pemain.
Mengapa kadangkala peminat melihat Hashim Mustapha melatih penjaga gol. Skop tugas yang lari dari kemahirannya. Satu tindakan yang menimbulkan rasa pelik peminat Kelantan yang hadir ke padang latihan mengapa jurulatih yang pernah menjadi penjaring terbanyak liga dan digeruni lawan tidak diberi tugas melatih pemain penyerang cara-cara menjaringkan gol tetapi melatih penjaga gol.
KAFA bertanggungjawab penuh dengan menemui para jurulatih dan semua pemain berbicara dari hati ke hati bagaimana untuk mengatasi masalah memburu gol.
KAFA juga perlu memberi penjelasan kepada peminat dan penyokong Kelantan bukan hanya lepas tangan begitu sahaja. Ini tidak, perlawanan persahabatan yang diatur dilihat lebih kepada mencari untung dengan memeras wang peminat yang sentiasa di belakang pasukan. Bukan dengan tujuan memantapkan pasukan.
Memang tidak dinafikan dengan pembelian pemain bintang, peminat akan hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan disamping melihat pemain yang baru menyarung jersi sang Kijang tetapi hasilnya, mereka pulang hampa dengan seribu sumpah seranah kepada pihak pengurusan.
Setelah mencatatkan satu kemenangan dan satu seri dalam siri perlawanan persahabatan yang diatur KAFA sebelum ini, Kelantan sekali lagi akan diuji oleh sebuah kelab yang berpengkalan di Selangor, Felda United di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu, rabu depan.
Andai rekod pertemuan diambil kira, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kota Bharu, Kelantan menundukkan lawan dengan jaringan 4-1 dimana ketika itu Kelantan diperkuatkan dengan kehadiran pemain import yang juga penjaring prolifik dari Senegal, Mohamadou Mustopha.
Pertemuan ini sememangnya dinanti-nantikan peminat Sang Kijang kerana selain Kelantan, Felda juga melakukan beberapa perubahan besar dalam skuad mereka untuk saingan liga musim hadapan.
Bezanya, Kelantan bersaing di Liga Super manakala Felda pula bersaing di Liga Perdana.
Felda dibarisi beberapa pemain berpengalaman selain diuruskan oleh mereka yang berminat untuk membangunkan skuad yang digelar Budak Felda tersebut. Skuad ini disasarkan untuk mengutip sesuatu musim hadapan dan jika pasukan ini benar-benar serius, pertemuan kedua-dua pasukan rabu ini akan berlangsung sengit.
Ini kerana selain mencari kemenangan, medan pertemuan persahabatan ini juga menjadi gelanggang buat jurulatih kedua-dua pasukan mencari kesebelasan utama selain membentuk formasi yang mampu mencabar pasukan lawan.
B. Sathianathan mungkin sudah berkira-kira siapakah yang akan dipilih untuk mengisi kesebelasan utama Kelantan dan rakan sejawatannya di Felda, E. Elavarasan juga mungkin sudah mempunyai barisan impian untuk cabaran pasukan mereka nanti.
Justeru itu, pertemuan ini akan dijadikan tempat buat kedua-dua jurulatih berbangsa India ini untuk memantapkan pasukan sebelum saingan liga bermula dua minggu lagi.
Kelantan yang diikat seri 0-0 Narathiwat Fc kelmarin mungkin tidak akan melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utama menentang Felda United.
Kembalinya Akmal Rizal, S. Subramaniam dan Che Hishamudin kedalam skuad pasti akan menambah kekuatan Kelantan di setiap posisi. Walaupun kehilangan Idlan Talaha yang menghadapi tugasan antarabangsa, pemain lain dijangka dapat mengantikannya untuk memburu gol.
Diperhatikan dalam perlawanan sebelum ini, posisi penjaga gol melawan Felda mungkin akan terus diisi Syed Adney Syed Hussien lantaran statusnya selaku penjaga gol skuad Kebangsaan dan pernah bermain dibawah kendalian Sathia ketika di skuad negara. Syed Adney dilihat masih tidak menunjukkan kemampuan sebenarnya selain kadangkala melakukan kesilapan mudah yang boleh memerangkap pasukan.
Tidak salah dalam perlawanan ini Sathianathan menggunakan khidmat Mohd Shahrizan dan Khairul Fahmi di posisi penjaga gol kerana kedua-dua pemain telah membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan sebelum ini selain dapat mempamerkan persembahan yang mungkin membantu sang Kijang.
Barisan pertahanan pula tiada masalah buat masa sekarang kerana menampilkan aksi memberangsangkan ketika menyekat pasukan T-Team dan Narathiwat. Para pemain pertahanan semakin menunjukkan keserasian walaupun masih ada beberapa kesilapan kecil yang dilakukan tetapi ianya dapat diperbaiki.
Azizi Mat Rose, Daudsu Jamaludin, Rizal Fahmi, Farisham Ismail, Zairul Fitree, Sarudy Aziz, Zamri Ramli dan Subramaniam berpeluang untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Felda. Walau Sathia menggunakan pertahanan sama dalam dua perlawanan berturut-turut, tidak mustahil pemain lain dapat menyelitkan nama untuk beraksi dalam skuad pertama.
Posisi tengah pula masih lagi tercari-cari rentak membantu penyerang menjaringkan gol. Pertemuan menentang Narathiwat membongkarkan masalah bahagian ini yang sentiasa kebuntuan idea mencari ruang menembusi gawang lawan. Kehadiran kembali Badri Radzi tidak membawa sebarang perubahan kecuali hanya mencatatkan nama selaku pemain tempatan dalam skuad utama.
Posisi ini turut dibarisi Indra Putra, Shakir Shaari, Khairan Eroza, Zul Yusri, Wan Zaman, Norfarhan dan beberapa nama lagi yang mungkin dapat membantu barisan tengah. Kecuali Farhan dan Indra yang sentiasa berlari dan mencari peluang membolosi lawan, pemain lain masih mempamerkan persembahan biasa-biasa yang tidak menunjukkan corak kelajuan seperti dituntut presiden, Tan Sri Annuar Musa.
Begitu juga dengan penyerang Kelantan yang diketuai Hairudin Omar. Dengan bantuan Akmal Rizal, Chanturu, Idlan, Ailim, Nidzad dan Che Hishamudin mereka belum lagi dapat mempamerkan prestasi terbaik yang mampu membunuh pasukan lawan.
Ini lah yang merungsingkan kerana walaupun dihidangkan beberapa peluang keemasan, jaringan yang dinantikan tidak dapat disudahkan walhal penjaga gol lawan sudah tertewas dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Oleh itu, perlawanan menentang Felda nanti diharapkan para pemain Red Warriors dapat memberikan sepenuh perhatian untuk memusnahkan lawan.
Bukan kemenangan yang dicari pada pertemuan pemanas badan ini tetapi keserasian pemain dalam pasukan diperlukan untuk saingan depan kerana bukan sahaja Kelantan, pasukan lain yang bersaing dalam kancah Liga Super juga melakukan persiapan terbaik untuk menggapai impian menjuarai Liga Malaysia musim 2010.
Runner Fc Tak Kecewa. Pamer persembahan mantap ketika latihan pra musim di Kuala Lumpur
RedsFC Redskelate@yahoo.com.my
Lawatan Runner Fc ke Kuala Lumpur untuk persiapan pasukan sebelum tirai Liga Belia Kebangsaan Zon Timur dibuka dengan rasminya Januari depan berakhir dengan kekalahan 1-5 kepada KL Figos di Real Sport Arena, Klang.
Pertemuan dengan skuad KL Figos yang juga juara Liga Futsal Malaysia memberikan satu pengalaman berharga kepada para pemain Runner Fc untuk menimba seberapa banyak pengetahuan.
Jamhuri Zainudin dan Fadhil Hisyam menjaringkan dua gol dan satu lagi disumbangkan Saravanan Kumar untuk KL Figos manakala Runner Fc mendapat gol saguhati melalui jaringan Khairul Irfan pada awal separuh masa kedua.
Babak pertama perlawanan menunjukkan taraf kedua-dua pasukan apabila Runner dikejutkan dengan dua jaringan awal KL Figos melalui penyerang mereka, Jamhuri Zainudin yang mudah menewaskan penjaga gol Runner Fc.
Bersambung babak kedua, Runner Fc memperoleh gol pertama hasil satu serangan balas Nadzri Mat yang melorongkan bola dengan cantik kepada Khairul Irfan sebelum disudahkan kedalam gawang KL Figos untuk merapatkan jurang gol.
Kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila KL Figos berjaya menambah tiga lagi gol melalui serangan balas selepas pemain Runner melakukan kesilapan mudah ketika melancarkan serangan ke kubu lawan.
Ketua jurulatih Runner Fc, Mohd Afiq Amin berkata, kekurangan pengalaman serta ketahanan mental menjadi penyebab utama mengapa mereka mudah ditundukkan lawan yang rata-rata dibarisi pemain Kebangsaan.
KL Figos bukan calang-calang pasukan kerana dibarisi tujuh pemain kebangsaan malah menjuarai Liga Futsal Malaysia namun semangat melawan yang ditunjukkan para pemain nyata meningkat berbanding ketika menewaskan Cheras Jaya 3-0 dan seri 3-3 dengan Harimau Malaya.
Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan tetapi sedikit gusar dengan kekurangan stamina, mental serta komunikasi diantara pemain menyebabkan hantaran serta pergerakan pasukan menjadi terbatas, ujarnya.
Menurut Saiful Afezan yang juga pengurus pasukan, pencapaian para pemain dalam perlawanan persahabatan yang diatur membanggakan pihak pengurusan dan saya berjanji selepas ini lebih banyak perlawanan akan diatur di luar Kelantan untuk memantapkan pasukan.
Pengurusan Runner Fc juga berharap para pemain dapat menjadikan perlawanan dengan KL Figos sebagai batu loncatan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi seterusnya menaikkan mutu permainan pasukan keseluruhan.
Bercakap dengan media, Saiful Afezan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Runner Solution yang membiayai penginapan serta makan minum pemain dan pegawai pasukan.
Kami juga berterima kasih kepada Encik Fauzi Abdul Ghani yang telah memberikan diskaun sebanyak 40% untuk pengangkutan Runner Fc sepanjang lawatan mereka ke ibukota untuk latihan pra musim.
Jentera serangan Kelantan dilihat tumpul apabila gagal menjaringkan sebarang gol ketika diikat 0-0 Narathiwat Fc dalam siri perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, malam tadi.
Walaupun menurunkan barisan terbaik di bahagian serangan, pemain Kelantan bagaikan tiada sengat untuk menyudahkan sebarang peluang yang terhidang menyebabkan hampir 12 000 penyokong pulang kehampaan.
Mempertaruhkan S. Chanturu, Hairudin Omar dan Norfarhan Mohamed, Kelantan mengatur gerak pertama mengancam kubu Narathiwat yang dikawal Issama-e Yusoh tetapi tandukan Hairudin gagal menerjah jaring.
Tidak lama kemudian, hasil satu sepakan lambung Badri Radzi, Chanturu yang tidak dikawal seakan-akan mampu memberikan gol pertama tetapi dia gagal melepaskan sepakan akibat pintasan dari pertahanan Mahamasabri Awae Buasa.
Minit ke-17, Hairudin sekali lagi mengancam dengan melepaskan satu sepakan kencang tetapi sedikit melambung diatas palang gol melegakan pemain pertahanan Narathiwat.
Tidak memberi laluan mudah, Narathiwat juga mengatur beberapa serangan berbahaya melalui gandingan kapten pasukan, Assari Guno dan Wiroj Senbat menyebabkan Rizal Fahmi serta Azizi Mat Rose tertekan menahan asakan.
Pertengahan babak pertama, hasil satu serangan balas, Assari Guno melakukan satu hantaran rendah kepada Ware-de Sakor tetapi gerakan pemain ini disekat Azizi Mat Rose yang melakukan satu terjahan menolak bola keluar ketika Ware berkedudukan baik menolak bola kedalam gawang.
Terkejut dengan serangan Narathiwat, Kelantan melakukan perubahan taktikal dengan Chanturu bermain di posisi sayap kiri dan Farhan naik keatas mengatur serangan bersama Hairudin tetapi percaturan ini masih gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat dibunyikan.
Memasuki babak kedua, Sathianathan melakukan dua pertukaran mengeluarkan Farhan dan Khairan Eroza mengantikan mereka dengan Akmal Rizal dan Wan Zaman.
Kemasukan dua pemain ini merubah sedikit tempo permainan dengan Kelantan melakukan serangan berbahaya. Hasil satu percubaan Indra Putra minit ke-51, Akmal Rizal nyaris menjaringkan gol tetapi sepakan derasnya tinggi melepasi palang walaupun ketika itu hanya berhadapan satu sama satu dengan Fae-Sun Ya.
Akmal sekali lagi mengancam gawang Narathiwat apabila bola sambungannya hasil hantaran Chanturu menewaskan penjaga gol lawan tetapi bola tersebut diselamatkan diatas garisan gol oleh pemain pertahanan pada minit ke-56.
Kelantan yang terdesak mencari gol mengeluarkan Hairudin mengantikan dengan Che Hishamudin dan kemasukan pemain licik ini juga gagal menyuntik sebarang peluang untuk Kelantan mencari gol pertama.
Minit ke-74, Kelantan membuat beberapa pertukaran untuk memperkukuhkan barisan pertahanan dan Subraniam membuat penampilan pertama di Kota Bharu apabila masuk mengantikan Rizal Fahmi manakala Zamri dikeluarkan digantikan dengan Farisham Ismail.
Walaupun beberapa serangan bahaya diatur sang Kijang, Narathiwat Fc tetap ampuh menahan kubu mereka dari dibolosi dan setelah tambahan masa dua minit oleh pengadil, perlawanan ditamatkan dengan Kelantan diikat seri 0-0 juara divisyen dua liga selatan Thailand tersebut.
Perlawanan pra-musim merupakan satu kemestian kepada setiap pasukan liga Malaysia dan Kelantan juga tidak terkecuali mengadakan perlawanan persahabatan untuk memperkukuhkan skuad sebelum menghadapi saingan Liga Super nanti.
Masih segar membenam juara Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu, T-Team Fc, Kelantan tampil lagi malam ini menentang sebuah kelab dari Selatan Thailand, Narathiwat Fc.
Narathiwat bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka merupakan juara Divisyen dua Selatan Thailand selain mempunyai pemain yang berkomited memburu kejayaan dalam setiap perlawanan.
Skuad bergelar The Kolair Boats ditubuhkan sejak 2002 tetapi menampilkan aksi yang mantap selain mencabar pasukan kuat lain. Skuad ini pernah beraksi di Liga Profesional Thailand pada 2006 dan menamatkan musim tersebut dengan cemerlang di kedudukan kelima dari 15 pasukan bertanding, satu pencapaian yang memberangsangkan ketika kawasan mereka mengalami pelbagai masalah politik setempat.
Skuad ini dilatih Pittaya Pimarnman dijangka memberi saingan sengit kepada Kelantan dalam perlawanan malam ini di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.
Berbalik kepada perlawanan malam nanti, Kelantan akan mempertaruhkan barisan sama menewaskan T-Team ketika melayan kunjungan Narathiwat Fc kecuali Hairudin Omar yang akan dimasukkan mengantikan Idlan Talaha yang pergi melaporkan diri di kem kebangsaan untuk perlawanan persahabatan skuad negara.
Bekas penjaga gol Kebangsaan, Syed Adney masih lagi diberi kepercayaan di bahagian gawang tetapi jika dilihat pada perlawanan persahabatan di Thailand sebelum ini, tidak salah Khairul Fahmi diberi ruang untuk mengisi posisi penjaga gol. Khairul mempamerkan persembahan cemerlang selain memberi komitmen tinggi untuk membantu Kelantan ketika lawatan pasukan di Negara Gajah Putih tersebut. Begitu juga Mohd Shahrizan, persembahan pemain ini sedikit menurun tetapi jika diberi ruang lebih besar, tidak mustahil dia mampu memberikan persembahan terbaik seperti perlawanan akhir Piala Fa tempoh hari.
Posisi pertahanan pastinya akan terus diisi bek kental, Azizi Mat Rose bersama-sama Rizal Fahmi Rosid, Daudsu Jamaludin dan Zamri Ramli (u-20) untuk mengawal benteng terakhir dari dibolosi lawan. Selain mereka, Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak juga ditagih pengalaman mereka untuk menahan asakan Narathiwat. Walaupun kelibat S. Subramaniam tidak dapat digunakan akibat masalah kecederaan, pemain-pemain sedia ada mampu menggalas tugas mempertahankan kubu.
Bahagian tengah, Sathia pasti mempunyai taktikal sendiri untuk menghapuskan lawan kerana posisi ini mempunyai pemain berpengalaman serta menjadi tonggak pasukan sejak musim lepas. Sathia pasti akan menggunakan khidmat Indra Putra selaku ketua pasukan untuk digandingkan dengan Badri Radzi, Shakir Shaari dan Norfarhan Mohamed untuk membantu penyerang mencari gol. Andai kata mereka tidak mampu menggalas tugas, Sathia masih lagi mempunyai pilihan lain untuk diletakkan di posisi itu seperti Wan Zaman, Zulyusri Che Harun dan lain-lain.
Pemergian Idlan Talaha dan kecederaan Akmal Rizal serta Che Hishamudin memberi peluang kepada Hairudin Omar untuk mengisi posisi serangan Kelantan malam nanti bergandingan dengan pemain yang mulai memikat hati penyokong Kelantan, S. Chanturu. Gandingan mereka berdua mungkin akan menghadirkan ancaman ke kubu lawan tetapi mereka harus lebih bekerja keras untuk menyumbangkan sesuatu kepada pasukan.
Walaupun mempunyai penyerang muda, Nidzad Ayub dan Ailim Fahmi, jurulatih mungkin hanya menurunkan mereka sebagai gantian kerana perlawanan sebelum ini mereka hanya menunjukkan permainan tahap biasa yang mengundang cemuhan dari peminat. Sathia mungkin berfikiran sebaliknya tetapi itulah kenyataan buat masa sekarang seperti yang dipertontonkan mereka berdua.
Cuma satu yang membenak di hati ramai rakyat Kelantan ketika ini. Siapakah Somchai Sinuai dan mengapa namanya yang sebelum ini tidak pernah tercatat dalam lembaran bola sepak Kelantan tiba-tiba muncul memikat hati B. Sathianathan pada penampilan pertama dengan skuad negeri. Malam ini sekali lagi aksi terbaik harus ditunjukkan pemain berketurunan siam dari Tumpat ini jika mahu disenaraikan dalam skuad bintang 2010.
Pengurusan KAFA yang ditemui mengharapkan peminat sekali lagi akan turun malam ini untuk memberikan sokongan kepada pemain Red Warriors dan mengharapkan mereka dapat memberikan sokongan terbaik seterusnya menyakinkan pengurusan Kelantan dan FAM yang Kijang mempunyai peminat yang sentiasa berdiri dibelakang pasukan tidak kira kalah atau menang.